KLIK DISINI
KUALA LIPIS 20 Okt. - Kira-kira 4,000 ahli keluarga daripada lima generasi Tok Linggi di Kampung Relong di sini mengadakan perhimpunan sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri hari ini.
Pertemuan itu dianggap amat bermakna kerana sebahagian ahli keluarga terbabit kini menetap di luar negara termasuk Thailand, Indonesia dan Australia.
Selain di sekitar Pahang, sebahagian anggota keluarga berkenaan juga tinggal di Sabah dan Sarawak.
Perjumpaan bersejarah itu diadakan atas inisiatif ahli keluarga tersebut dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Relong, Persatuan Anak Kampung Relong dan sebuah syarikat swasta, Raffulin Holding Sdn. Bhd. (Raffulin) yang dimiliki salah seorang generasi Tok Linggi.
Pelbagai acara menarik diadakan dalam perjumpaan itu termasuk mengecam salasilah keluarga.
Setiausaha Jawatankuasa Perjumpaan Rumpun Keluarga Tok Linggi, Muhamad Hairiri Abdul Majid, 42, berkata, perhimpunan julung kali itu diadakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang terjalin sejak sekian lama.
''Perhimpunan ini mewujudkan hubungan kekeluargaan berpanjangan walaupun ramai generasi terdahulu telah meninggal dunia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis itu hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Perjumpaan Rumpun Keluarga Tok Linggi, Zahari Uda dan Pengurus Raffulin, Datuk Ir. Mohd. Razali Othman dan Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaruddin.
Sementara itu, waris kelima Tok Linggi, Hussin Ali, 74, mendakwa, Tok Linggi yang berasal dari Kampung Bukit Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia, mempunyai pertalian dengan keturunan Kesultanan Johor Riau.
''Akibat perselisihan dengan pemerintah pada awal tahun 1700-an, Tok Linggi bersama lima beradiknya lari ke Tanah Melayu dan singgah di Negeri Sembilan sebelum berpecah membawa haluan masing-masing ke negeri lain," katanya.
Seorang waris keturunan Tok Linggi, Hassan Sood, 64, berkata, dia terharu kerana berjumpa saudara dekat dan jauh pada perhimpunan itu.
''Menerusi jurai keturunan yang disediakan, saya dapat mengenali anak saudara, pak cik, mak cik, nenek, datuk, cicit dan piut yang tinggal sekampung dan yang datang dari jauh," katanya.
Hassan menambah, pertemuan itu mewujudkan suasana mesra lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda agar lebih mengenali orang tua dan menghayati jurai keturunan Tok Linggi.
Sementara itu, pengkisahan salasilah waris Tok Linggi Kampung Relong boleh dilayari menerusi laman sesawang http://rajaahmad.blogspot.com atau http://sungaibatuderelong.blogspot.com.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
"Perjumpaan bersejarah itu diadakan atas inisiatif ahli keluarga tersebut dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Relong, Persatuan Anak Kampung Relong dan sebuah syarikat swasta, Raffulin Holding Sdn. Bhd. (Raffulin) yang dimiliki salah seorang generasi Tok Linggi"
Saya berharap saudari jangan tersalah anggap bahawa jamuan Hari Raya itu bukan atas nama keturunan Tok Linggi tetapi atas nama Gabungan Satu Relong. Kedua Rafulin tidak dimiliki oleh mana-mana anak keturunan Tok Linggi. Rafulin adalah syarikat yang menjalankan aktiviti sosialnya di Kampung Relong.
Kalau nak tanya tentang aktiviti orang relong tak perlu ke blog anda. Saya sendiri orang Relong dan saya antara orang yang mula mempopularkan terembe yang dibuat oleh Haji Abdul Karim Ali.
Post a Comment