Sunday, December 20, 2009

LAGU YANG MENGIMBAU MEMORI

Sebelum saya mengetahui dengan mendalam mengenai asal-usul dan salasilah Raja Ahmad al Linggi, saya memang meminati beberapa lagu yang menarik hati saya dari segi dialeknya. Walaupun maksud lirik lagu tersebut tidak seindah mana, tetapi penataan muzik dan bahasa yang digunakannya menimbulkan kesan di hati saya. Antaranya adalah lagu :

Bugih Lamo
http://muziknusantara.com/gj_indon_16.html

Ayam Den Lapeh
http://muziknusantara.com/gj_indon_10.html


Kebetulannya, Raja Ahmad memang mempunyai darah keturunan Bugis dan Minangkabau juga, maka mungkin terkadang gerak hati dan "bau rasa" itu melangkaui sempadan masa dan ruang. Atau di dalam bahasa modennya, menerobos sempadan matrix?

Tuesday, December 15, 2009

SULATUS al SALATIN KARYA TUN SRI LANANG,

Catatan : Tun Sri Lanang merupakan leluhur kepada keturunan Raja Ahmad al Linggi dari keturunan Melayu Melaka.

Karya agung seperti Sulatus al-Salatin ini dianggap “terkeluar” daripada kajian teks sejarah untuk diajar di sekolah. Apatah lagi karya hikayat seperti Hikayat Hang Tuah yang dianggap epik semata-mata.

Namun persoalannya, benarkah koleksi karya agung Melayu yang menceritakan asal usul bangsa Melayu ini hanya layak dikategorikan sebagai teks sastera tradisional?
Jika benar dakwaan ini, mengapakah Raffles sanggup mempertaruhkan nyawa untuk menyelamatkan Sulatus al-Salatin ketika kapalnya dibakar pada 1826 bersama-sama ratusan naskhah Melayu? Adakah Raffles bertindak demikian kerana beliau terlalu taasub untuk meneliti dan mengkaji ‘keindahan’ laras bahasa sastera yang digunakan dalam karya agung itu?

Mengapakah hingga sekarang negara ini masih gagal mendapatkan semula versi Sulatus al-Salatin Naskhah Raffles Malay 18 yang tersimpan di Royal Asiatic Society, London atau Sulatus al-Saltin Cod. Or. 1704 yang tersimpan di Universiti Leiden, Belanda?
Mengapakah sebuah karya lama yang di negara asalnya hanya bertaraf sebuah teks sastera tradisional, begitu dilindungi dan dikawal ketat oleh bangsa lain yang berjaya mencurinya?

Lebih aneh lagi, mengapakah pakar sejarah dan arkeologi Eropah menemui pelbagai artifak dan monumen berharga milik bangsa Melayu hasil petunjuk yang tercatat dalam Sulatus al-Salatin Naskhah Raffles Malay 18?


Artikel lanjut dapatkan Dewan Masyarakat Edisi November 2009 sekarang !

Wednesday, December 2, 2009

DI ATAS RUNTUHAN KOTA MELAKA

Di bawah adalah sebuah sajak dari HAMKA, yang menurut pendapat saya amat menarik untuk dikongsikan di sini kerana ia membawa kisah sejarah yang perlu direnungkan. Pengkarya agung seperti Hamka adalah satu anugerah kepada warisan nusantara dan saya merupakan ribuan dari peminat beliau.

Daerah Maninjau adalah daerah kelahiran dan tempat tinggal beliau dan ia mengingatkan kepada saya bahawa Raja Ahmad al Linggi juga berasal usul dari sana kerana dilahirkan di Kg Bukit Maninjau. Tasek Maninjau adalah tasek yang indah, dan jika saudara-saudari berkunjung ke sana, tentu sahaja akan terpegun dengan keindahannya yang memukau.

Di Atas Runtuhan Kota Melaka ~ Hamka


Di atas runtuhan Melaka lama
Penyair termenung seorang diri
Ingat Melayu kala jayanya
Pusat kebesaran nenek bahari

Di atas munggu yang ketinggian
Penyair duduk termenung seorang
Jauh pandangku ke pantai sana
Ombak memecah di atas karang

Awan berarak mentilau bernyanyi
Murai berkicau bayu merayu
Kenang melayang ke alam sunyi
Teringat zaman yang lama lalu

Sunyi dan sepi, hening dan lingau
Melambai sukma melenyai tulang
Arwah Hang Tuah rasa menghimbau
Menyeru umat tunduk ke Tuhan

Di sini dahulu alat kebesaran
Adapt resam teguh berdiri
Duduk semayam Yang Dipertuan
Melimpahkan hukum segenap negeri

Di sini dahulu Laksamana Hang Tuah
Satria moyang Melayu jati
Jaya perkasa, gagah dan mewah
‘Tidak Melayu hilang di bumi’

Di sini dahulu paying terkembang
Megah Bendahara Seri Maharaja
Bendahara yang cerdik tumpuan dagang
Lubuk budi laut bicara

Penyair menghadap ke laut lepas
Selat Melaka tenang terbentang
Awan berarak riak menghempas
Mentari turun rembanglah petang

Wahai tuan Selat Melaka
Mengapa tuan berdiam diri?
Tidakkah tahu untung hamba
Hamba musafir datang ke mari

Di mana Daulat Yang Dipertuan
Mana Hang Tuah, mana Hang Jebat
Mana Bendahara johan pahlawan
Bukankah jelas di dalam babad

Namanya tetap jadi sebutan
Bekasnya hilang payah mencari
Sedikit penyair bertemu kesan
Musnah dalam gulungan hari

Mengapa ini bekas yang tinggal
Umat yang lemah terkatung-katung
Hidup menumpang tanah terjual
Larat wahai larat dipukul untung

Adakah ini bekas peninggalan
Belahan diriku umat Melayu
Lemah dan lungai tiada karuan
Laksana bunga terkulai layu

Jauh di darat penyair melihat
Gunung Ledang duduk termangu
Tinggi menjulang hijau dan dahsyat
Hiasan hikayat nenekku dahulu

Di dalam kuasyik merenung gunung
Di dalam kemilau panas kan petang
Tengah khayal dirundung menung
Rasanya ada orang yang datang

Penyair hanya duduk sendiri
Tapi keliling rasanya ramai
Bulu romaku rasa berdiri
Berubah warna alam yang permai

Ada rasanya bisikan sayu
Hembusan angina di Gunung Ledang
Entah puteri datang merayu
Padahal beta bukan meminang

Bukanlah hamba Sultan Melaka
Jambatan emas tak ada padaku
Kekayaanku hanya syair seloka
Hanya nyanyian untuk bangsaku

Justeru terdengar puteri berkata
Suaranya halus masuk ke sukma
Maksudmu tuan sudahlah nyata
Hendak mengenang riwayat yang lama

Bukan kuminta jambatan emas
Tapi nasihat hendak kuberi
Kenang-kenangan zaman yang lepas
Iktibar cucu kemudian hari

Sebelum engkau mengambil simpulan
Sebelum Portugis engkau kutuki
Inggeris Belanda engkau cemarkan
Ketahui dahulu salah sendiri

Sultan Mahmud Shah mula pertama
Meminang diriku ke Gunung Ledang
Segala pintaku baginda terima
Darah semangkuk takut menuang

Adakan cita akan tercapai
Adakan hasil yang diingini
Jika berbalik sebelum sampai
Mengorbankan darah tiada berani

Apalah daya Datuk Bendahara
Jikalau Sultan hanya tualang
Memikir diri seorang sahaja
Tidak mengingat rakyat yang malang

Sultan Ahmad Shah apalah akalnya
Walaupun baginda inginkan syahid
Mualim Makhdum lemah imannya
‘Di sini bukan tempat Tauhid’

Bendahara Tua Paduka Raja
Walaupun ingin mati berjuang
Bersama hilang dengan Melaka
Anak cucunya hendak lari pulang

Berapa pula penjual negeri
Mengharap emas perak bertimba
Untuk keuntungan diri sendiri
Biarlah bangsa menjadi hamba

Ini sebabnya umat akan jatuh
Baik dahulu atau sekarang
Inilah sebab kakinya lumpuh
Menjadi budak belian orang

Sakitnya bangsa bukan di luar
Tetapi terhunjam di dalam nyawa
Walau diubat walau ditawar
Semangat hancur apalah daya

Janjian Tuhan sudah tajalli
Mulialah umat yang teguh iman
Allah tak pernah mungkirkan janji
Tarikh riwayat jadi pedoman

Tidaklah Allah mengubah untung
Suatu kaum dalam dunia
Jika hanya duduk terkatung
Berpeluk lutut berputus asa

Malang dan mujur nasibnya bangsa
Turun dan naik silih berganti
Terhenyak lemah naik perkasa
Bergantung atas usaha sendiri

Riwayat yang lama tutuplah sudah
Apalah guna lama terharu
Baik berhenti bermenung gundah
Sekarang dibuka lembaran baru

Habis sudah madahnya puteri
Ia pun ghaib capal pun hilang
Tinggal penyair seorang diri
Di hadapan cahaya jelas membentang

Pantai Melaka kulihat riang
Nampaklah ombak kejar-mengejar
Bangunlah Tuan belahanku saying
Seluruh Timur sudahlah besar

Bercermin pada sejarah moyang
Kita sekarang mengubah nasib
Di zaman susah atau pun riang
Tolong tetap dari Yang Ghaib

Bangunlah kasih, umat Melayu
Belahan asal satu turunan
Bercampur darah dari dahulu
Persamaan nasib jadi kenangan

Semangat yang lemah dibuang jauh
Jiwa yang kecil kita besarkan
Yakin percaya, iman pun teguh
Zaman hadapan, penuh harapan

Bukanlah kecil golongan tuan
Tujuh puluh juta Indonesia
Bukan sedikit kita berteman
Sudahlah bangun bumi Asia

Kutarik nafas, kukumpul ingatan
Aku pun tegak dari renungku
Jalan yang jauh aku teruskan
Melukis riwayat sifat hidupku

Kota Melaka tinggallah sayang
Beta nak balik ke Pulau Percha
Walau terpisah engkau sekarang
Lambat launnya kembali pula
Walaupun luas watan terbentang
Danau Maninjau terkenang jua

~ Hamka