Friday, October 30, 2009

UTUSAN MALAYSIA : Perhimpunan 4,000 ahli keluarga keturunan Tok Linggi

KLIK DISINI


KUALA LIPIS 20 Okt. - Kira-kira 4,000 ahli keluarga daripada lima generasi Tok Linggi di Kampung Relong di sini mengadakan perhimpunan sempena jamuan Hari Raya Aidilfitri hari ini.

Pertemuan itu dianggap amat bermakna kerana sebahagian ahli keluarga terbabit kini menetap di luar negara termasuk Thailand, Indonesia dan Australia.

Selain di sekitar Pahang, sebahagian anggota keluarga berkenaan juga tinggal di Sabah dan Sarawak.

Perjumpaan bersejarah itu diadakan atas inisiatif ahli keluarga tersebut dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Relong, Persatuan Anak Kampung Relong dan sebuah syarikat swasta, Raffulin Holding Sdn. Bhd. (Raffulin) yang dimiliki salah seorang generasi Tok Linggi.

Pelbagai acara menarik diadakan dalam perjumpaan itu termasuk mengecam salasilah keluarga.

Setiausaha Jawatankuasa Perjumpaan Rumpun Keluarga Tok Linggi, Muhamad Hairiri Abdul Majid, 42, berkata, perhimpunan julung kali itu diadakan untuk mengeratkan hubungan kekeluargaan yang terjalin sejak sekian lama.

''Perhimpunan ini mewujudkan hubungan kekeluargaan berpanjangan walaupun ramai generasi terdahulu telah meninggal dunia," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada majlis itu hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Perjumpaan Rumpun Keluarga Tok Linggi, Zahari Uda dan Pengurus Raffulin, Datuk Ir. Mohd. Razali Othman dan Penghulu Mukim Telang, Abdullah Zawawi Kamaruddin.

Sementara itu, waris kelima Tok Linggi, Hussin Ali, 74, mendakwa, Tok Linggi yang berasal dari Kampung Bukit Meninjau, Sumatera Barat, Indonesia, mempunyai pertalian dengan keturunan Kesultanan Johor Riau.

''Akibat perselisihan dengan pemerintah pada awal tahun 1700-an, Tok Linggi bersama lima beradiknya lari ke Tanah Melayu dan singgah di Negeri Sembilan sebelum berpecah membawa haluan masing-masing ke negeri lain," katanya.

Seorang waris keturunan Tok Linggi, Hassan Sood, 64, berkata, dia terharu kerana berjumpa saudara dekat dan jauh pada perhimpunan itu.

''Menerusi jurai keturunan yang disediakan, saya dapat mengenali anak saudara, pak cik, mak cik, nenek, datuk, cicit dan piut yang tinggal sekampung dan yang datang dari jauh," katanya.

Hassan menambah, pertemuan itu mewujudkan suasana mesra lebih-lebih lagi di kalangan generasi muda agar lebih mengenali orang tua dan menghayati jurai keturunan Tok Linggi.

Sementara itu, pengkisahan salasilah waris Tok Linggi Kampung Relong boleh dilayari menerusi laman sesawang http://rajaahmad.blogspot.com atau http://sungaibatuderelong.blogspot.com.

Monday, October 5, 2009

MAJLIS AIDIL FITRI 1RELONG & MENJEJAK SILSILAH

Pengerusi dan Ahli-ahli Jawatan kuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Relong dengan hormatnya menjemput


-----------------------------------------------------------------------------------

Ke Majlis Aidil Fitri 1 RELONG 2009 M/ 1430 H
pada :

Tarikh : 18 OKT 2009 ( Ahad )

Masa : 9.30-12.30

Tempat : Dewan Orang Ramai Kampung Relong

Kehadiran anak-anak Relong sama ada yang masih tinggal di Relong maupun yang telah berhijrah ke luar Relong sama ada dekat (Berchang, Lubok Kulit, Merapoh, Koyan) maupun yang jauh ( Raub, Jengka, Kuantan, Kuala Lumpur ) adalah dialu-alukan.
Selain bermaaf-maafan sempena aidil fitri.

Pelbagai acara turut diadakan termasuk menyemak Teremba ( salasilah) Tok Linggi, Kios IT @ Blogger Relong, kemaskini FamilyTree ** Tok Linggi akan diadakan. Sehubungan dengan itu kesudian tuan/puan untuk bersama amat kami alu-alukan.

TERIMA KASIH


** Program kemaskini Family Tree Tok Linggi menggunakan perisian
Genopro sedang diusahakan oleh Jawatan kuasa.
S/U Program : 0123450239 ( Hairiri)