Penganjur bagi para pembesar Melayu yang cuba mengurangkan kuasa pihak Yantuan Muda Riau ini ialah Raja Kecil Terengganu yang bernama Sultan Mansur Shah ibni Al-Marhum Sultan Zainal Abidin I yang juga dikenali sebagai Tun (Raja) Dalam.
Tun Dalam merupakan sepupu kepada Paduka Sri Sultan Sulaiman yang juga menantu kepada baginda dan Daeng Chelak. Tun Dalam juga merupakan bapa saudara sepupu kepada Bendahara Tun Hassan. Bagaimana pun Bendahara, Temenggong dan Raja Indera Bongsu tentulah menjadi pendorong utama didalam perkara ini.
Para pembesar Melayu termasuk Tun Dalam dikatakan terlalu marah dengan pembesar Bugis yang memonopoli kuasa didalam kerajan Johor telah mencetuskan berbagai masalah dengan pembesar Bugis, ini memburukkan lagi perhubungan diantara para pembesar Melayu dan Bugis yang memang telah sedia tidak baik.
Pertelingkahan kedua-dua belah pihak sampai ke kemuncaknya pada tahun 1753 sehingga menyebabkan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja memutuskan untuk meninggalkan Riau dan membuat pemerintahan di daerah Linggi. Dalam tahun 1759, Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja telah memerintahkan Raja Haji (Engku Kelana) pergi ke Riau bagi mendesak Paduka Sri Sultan Sulaiman memperbaharui persetiaan Melayu-Bugis yang telah dibuat pada tahun 1722 dahulu.
Pada tahun 1760 Paduka Sri Sultan Sulaiman telah menitahkan Tun Dalam dan Raja Haji pergi ke Linggi untuk menjemput Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja bagi menjalankan pentadbiran negeri. Rombongan tersebut telah singgah sebentar di Melaka. Semasa di Melaka Tun Dalam yang mendakwa sebagai wakil Paduka Sri Sultan Sulaiman telah berjumpa dengan Gabenor Belanda di Melaka. Tun Dalam mendakwa membawa perintah daripada baginda sultan bagi meminta pihak Belanda menyerang Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja di Linggi. Tun Dalam juga menyatakan bahawa segala perbelanjaan bagi peperangan tersebut akan ditanggung oleh Paduka Sri Sultan Sulaiman
Atas tipu helah tersebut, pihak Belanda telah menyerang Linggi dan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja berundur ke Rembau. Bagaimana pun cerita berkenaan tindak tanduk Tun Dalam ini telah diketahui oleh Paduka Sri Sultan Sulaiman menyebabkan baginda begitu murka kepada Tun Dalam, bagaimana pun sebelum sempat baginda bertindak, Tun Dalam dan rombongannya telah melarikan diri ke Terengganu.
Paduka Sri Sultan Sulaiman telah berjumpa dengan Gabenor Belanda di Melaka dan pada mulanya baginda tidak mahu menjelaskan hutang peperangan tersebut yang berjumlah tujuh laksa, tiga ribu, empat ratus lima puluh tujuh ringgit. Bagaimana pun setelah didesak oleh Gabenor Belanda, baginda telah meminta tangguh bagi pembayaran hutang tersebut kerana mahu berjumpa dahulu dengan Tun Dalam. Baginda kemudiannya pulang ke Riau.
Semasa di Riau, Paduka Sri Sultan Sulaiman telah memerintahkan Raja di Baroh untuk menjemput Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja di Rembau. Raja di Baroh telah singgah dahulu di Selangor dimana setibanya disana baginda telah jatuh gering. Semasa pemergian Raja di Baroh ini, Paduka Sri Sultan Sulaiman telah jatuh gering dan mangkat pada 20 Ogos 1760.
Menurut ‘Tuhfat al-Nafis’ pada masa geringnya baginda Sultan inilah Tengku Puteh telah melahirkan Tengku Mahmud. Selepas pemakaman baginda, Bendahara Tun Hasan telah menyuruh orang pergi ke Selangor untuk memberitahu Raja di Baroh bahawa ayahanda banginda sudah mangkat. Setelah menerima berita tersebut, Raja di Baroh selang beberapa hari telah mangkat iaitu pada tanggal 29 Januari 1761.
Raja Selangor telah memasukkan jenazah Raja di Baroh didalam keranda dan menghantarnya ke Pedas dimana Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja berserta Raja Haji telah menunggu jenazah baginda di Pedas seterusnya membawa jenazah tersebut pulang ke Riau. Jenazah baginda dimakamkan bersebelahan dengan makam paduka ayahanda Marhum Paduka Sri Sulaiman I Badr ul-‘Alam Shah.
Setelah permakaman almarhum Sultan Abdul Jalil, para pembesar negeri telah menabalkan Tengku Ahmad sebagai Sultan Johor-Riau dengan gelaran Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah. Pertabalan tersebut telah dibuat oleh Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja dan bukannya oleh Bendahara Tun Hasan.
Kejadian ini telah membuatkan para pembesar melayu terutamanya Bendahara Tun Hasan sakit hati. Apatah lagi Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja telah melantik dirinya menjadi pemangku kepada sultan. Walau bagaimana pun Paduka Sri Sultan Ahmad telah dipelihara oleh Bendahara Tun Hasan dan menetap di Kampung Bulang dengan suku-suku Melayu.
Setelah mendapat berita Paduka Sri Sultan Sulaiman telah mangkat, Gabenor Belanda di Melaka telah menghantar satu rombongan ke Riau bagi menuntut hutang yang masih belum dibayar oleh Marhum baginda Sultan. ‘Tuhfat al-Nafis’ ada menceritakan peristiwa ini secara terperinci dimana Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu tidak berupaya untuk membayar hutang tersebut dan menyerahkan kepada Yamtuan Muda Daeng Kemboja untuk membuat keputusan. Pihak Belanda menuntut jika hutang tersebut gagal dibayar, pihak Belanda akan mengambil dua putera Raja di Baroh sebagai tebusan.
Maka gemparlah seluruh Riau kerana takut akan kehilangan dua orang putera dari keturunan Sultan itu.
Berkatalah Bendahara Tun Hasan (didalam Tuhfat al-Nafis) “Allah, Allah, Janganlah abang kenangkan saya semua ini, melainkan abang pandang sajalah kepada intan gemala kita, yang piatu itu daripada waris amanah pertaruhan marhum kepada abang serta saya semua ini. Adapun Johor dan Riau serta segala takluk daerahnya dipulangkan kepada abang dan abanglah memerintahnya serta kaum abang selama-lamanya dengan muafakat serta tulus ikhlas, relalah saya semua kepada abang adik beradik, anak beranak”.
Selepas bertangguh selama tiga bulan, Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja akhirnya berjaya membayar hutang tersebut yang kemudiannya berjumlah tujuh laksa, tujuh ribu tujuh ratus tujuh puluh ringgit, hasil daripada penjualan candu.
Di riwayatkan bahawa selepas beberapa hari perkara pembayaran hutang tersebut selesai Paduka Sri Sultan Ahmad dikatakan telah jatuh gering dan mangkat di Kampung Bulang. Dikatakan Bendahara Tun Hasan dan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja sendiri telah menyempurnakan permakaman almarhum baginda sultan.
Selesai permakaman maka para pembesar negeri telah bermusyawarah dimana suku-suku Melayu mencadangkan calon daripada saudara-saudara Marhum di Baroh manakala suku-suku Bugis mancadangkan Raja Mahmud yang berdarah Melayu-Bugis. Bagaimana pun tiada keputusan daripada perjumpaan tersebut dan bertangguhlah kepada hari esoknya. Bendahara Tun Hasan telah mengarahkan suku-suku Melayu bersiap sedia dengan kelengkapan senjata untuk hadir pada perjumpaan keesokkan hari, manakala Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja sangat marah apabila mendengar berita tersebut lantas berkata ia kepada Raja Haji
“ Engku Kelana daripada perbuatan Datuk Bendahara itu, baharu semalam umpamanya ia berkata negeri Riau ini putih hitamnya terserah kepada kita. Pada ketika Kapitan kapal menunggu hutang hari itu, ini sudah lain pula tingkah lakunya seperti rupa-rupa hendak mencari jalan perkelahian, bukan jalan muafakat dan musyawarah memilih raja hanyalah seolah-olah jalan hendak menunjukkan laki-lakinya jua”.
Maka suku-suku Bugis juga telah menyediakan kelengkapan senjata pada hari tersebut.
Keesokkan harinya semasa tiba waktu pertabalan seluruh pembesar daripada kedua-dua belah pihak telah berhimpun.
Merujuk kepada ‘Tuhfat Al-Nafis’ dan artikel ‘Lingga Island - Mencari Gunung Daik Bercabang Tiga’ tulisan A. F Yasin, bahawa Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja sambil meriba Tengku Mahmud yang masih kecil telah naik ke singgahsana seterusnya menobatkan Tengku Mahmud sebagai Sultan Johor. Beliau menghunus pedangnya sambil berucap yang maksudnya
“Barang siapa diketahui kiranya suku-suku sebelah Melayu dan Bugis, bahawa sesungguhnya Raja Mahmud inilah Raja Johor dan segala jajahan takluknya yang dilantik oleh Bugis sebagaimana nindanya Sultan Sulaiman, iapun demikian jualah. Maka barang siapa yang tiada mematuhi aturan ini, maka pada hari inilah kita berhabis-habisan”.
Bendahara Tun Hasan yang terkejut dengan perlakuan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja itu tidak dapat berbuat apa-apa melainkan berkata “Jikalau sudah patut pada abang semua Raja Mahmud ini menjadi Raja Johor, maka saya semua pun sertalah”.
Maka dengan perakuan tersebut tertaballah Paduka Sri Sultan Mahmud.
Bahawa bagi merampas kembali kuasa kesultanan Johor yang dipangku oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja, Bendahara Tun Hasan bersama Temenggong dan Raja Indera Bongsu telah membuat rancangan iaitu dengan mengisytiharkan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad telah gering dan mangkat di Kampung Bulang. Dengan itu para pembesar Melayu berhasrat untuk menabalkan Sultan dari kalangan saudara-saudara Mahrum Sultan Abdul Jalil samada Tengku Abdul Kadir, Tengku Othman atau Tengku Buang. Sekiranya cadangan tersebut berhasil tentulah para pembesar Melayu dapat berkuasa sepenuhnya keatas Kerajaan Johor. Bagaimanapun pakatan ini tidak dapat dilaksanakan apabila Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja selagi lagi bertindak bersendirian dengan melantik Tengku Mahmud sebagai Sultan Johor-Riau.
Menurut Christopher J. Buyers didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam pada masa perlantikan tersebut baru berusia enam tahun (lahir 1755).
Manakala ‘Tuhfat al-Nafis’ menyatakan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam pada masa perlantikan tersebut baru berusia satu tahun (lahir 1760). Maka pemerintahan Kerajaan Johor-Riau telah dipangku oleh Yamtuan Muda Daeng Kemboja dengan dibantu oleh penolongnya Raja Haji (Engku Kelana).
Bahawa dengan perlantikan tersebut pembesar-pembesar Bugis yang diketuai oleh Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja telah menguasai sepenuhnya pemerintahan dan memonopoli hasil kekayaan Kerajaan Johor-Riau.
Bahawa dengan pertabalan tersebut maka gagallah rancangan Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu yang lain untuk melantik Sultan dari kalangan saudara-saudara Marhum Raja di Baroh. Bermakna gagal jugalah hasrat untuk kembali berkuasa didalam pemerintahan kerajaan Johor. Apatah lagi Sultan yang baru ditabal itu masih kecil dan bersemayam di Riau, dikelilingi oleh para pembesar Bugis. Maka yang menjadi mangsa adalah Paduka Sri Sultan Ahmad yang ‘terpaksa menjadi korban’ kepada rancangan pembesar Melayu yang tidak berjaya itu.
Terdapat percanggahan didalam kesahihan kemangkatan Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah seperti yang didakwa oleh Bendahara Tun Hasan dan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja semasa perlantikan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam pada 1761.
Ini berdasarkan beberapa catitan-catitan termasuk daripada Christopher J. Buyers didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ yang menyatakan bahawa Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup sehingga tahun 1770 sebelum baginda menghilangkan diri iaitu pada usia 18 tahun. Menurut cerita-cerita lisan yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang kerana Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara dari Kampung Bulang.
Bahawa dari tahun 1761 sehingga 1770, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah telah mendalami ilmu agama islam sehingga menjadi seorang yang alim. Baginda telah menukar nama gelarannya kepada Dato’ Ahmad yang juga mahu dikenali sebagai Dato’ Linggi seperti yang dinyatakan didalam Salasilah[2] dan tidak lagi menggunakan gelaran ‘Sultan’ atau ‘Tengku’.
Pembesar Kerajaan Johor-Riau yang berpengaruh pada masa tersebut ialah Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja yang bersemayam di Riau dan Bendahara Paduka Raja Tun Hasan yang bersemayam di Kampung Bulang. Perlantikan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam oleh Daeng Kemboja membawa maksud beliau mempunyai kata pemutus didalam perlantikan Sultan Johor-Riau.
Manakala selepas tahun 1770 pembesar Melayu yang berpengaruh ialah Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid yang bersemayam di Pahang yang juga dikenali sebagai Bendahara Pahang. Dimana peristiwa perlantikan Yamtuan Muda Riau Raja Haji oleh Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid di Pahang dalam tahun 1778 menunjukkan bahawa beliau sangat berpengaruh pada masa tersebut.
Berdasarkan ‘Tuhfat al-Nafis’, ‘Price of Pirates’ oleh Carl A Trocki dan artikel ‘Warrior Princes of Sulawesi’ tulisan Sabri Zain menyatakan bahawa Raja Haji pada masa kemangkatan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja di Riau sekitar tahun 1777, sedang berada di Borneo kerana membantu Sultan Pontianak berperang menentang musuh-musuhnya. Raja Haji sepatutnya balik ke Riau untuk menghadiri pemakaman Yantuan Muda Riau Daeng Kemboja tetapi beliau mengambil keputusan untuk singgah di Pahang.
Raja Haji telah berjaya mendapatkan sokongan dan restu dari Bendahara Tun Abdul Majid (a prominent member of Johor-Riau house) seterusnya telah ditabalkan di Pahang sebagai Yamtuan Muda Riau ke empat pada tahun 1778.
Bendahara Pahang setelah berkuasa pada tahun 1770 telah menyembunyikan Dato’ Ahmad di wilayah pemerintahannya iaitu di Pahang. Dato’ Ahmad akhirnya mengambil keputusan untuk terus tinggal dan menetap di Kampung Relong dan tidak berhasrat untuk kembali berkuasa. Mungkin juga disebabkan oleh kewarakan baginda menyebabkan baginda tidak lagi mempunyai hasrat tersebut. Anak-anak baginda juga telah menggugurkan nama gelaran ‘Tengku’ bagi membolehkan mereka menjalani kehidupan sebagai rakyat biasa.
No comments:
Post a Comment