Thursday, June 26, 2008

PERISTIWA YG MEMBAWA PENYINGKIRAN RAJA AHMAD DARI TAKHTA. (2)

Setelah kemangkatan Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja dalam tahun 1777. Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid berusaha untuk memperkukuhkan pengaruhnya. Beliau telah berjaya mempengaruhi Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam dengan mengaturkan perkahwinan baginda dengan puterinya iaitu Che Engku Puan.

Terdapat pergolakan dan perebutan pengaruh dan kuasa diantara pembesar-pembesar Melayu dan Bugis didalam kesultanan Johor-Riau sehingga menyebabkan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam terpaksa meminta pertolongan dan perlindungan daripada Belanda dari 10 November 1784 sehingga 7 Februari 1787 dimana pihak Beland telah menyerahkan kembali kuasa pemerintahan kepada baginda.

Pembesar-pembesar Bugis telah cuba untuk mempertingkatkan pengaruh mereka didalam Kerajaan Johor-Riau, bagaimana selepas kemangkatan Yamtuan Muda Riau Raja Haji Fisabillillah di Telok Ketapang pada 19 Jun 1784, pengaruh pembesar Bugis semakin merosot.

Bahawa pergeseran dan perebutan kuasa dan pengaruh diantara pembesar Melayu dan Bugis keseluruhannya banyak berpunca daripada perebutan untuk menguasai konsesi lombong bijih dan hasil mashul yang lain seperti gambir, opium, teh, lada hitam dan rempah ratus yang lain. Sultan pada kebiasaannya menyerahkan pengutipan cukai tersebut kepada para pembesar negeri, maka kehadiran pihak Belanda sedikit sebanyak telah menggugat penguasaan pembesar-pembeser negeri terutama orang Bugis untuk memonopoli hasil-hasil tersebut.

Selepas kemangkatan Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid dalam tahun 1802, barulah pembesar-pembesar Bugis berjaya mempengaruhi Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam iaitu dengan mengaturkan perkahwinan baginda dengan Raja Hamidah, puteri kepada Yamtuan Muda Riau Raja Haji dalam tahun 1803. Baginda telah menghadiahkan Pulau Penyengat kepada Raja Hamidah sebagai hadiah perkahwinan.

Bahawa Paduka Sri Sultan Mahmud telah menganugerahkan Pulau Penyengat kepada suku Bugis bagi mengambil hati para pembesar dan orang-orang Bugis pada masa tersebut sebagaimana baginda menganugerahkan tanah Pahang kepada Bendahara Tun Abdul Majid iaitu bagi memujuk beliau yang dipinggirkan kuasanya oleh Yamtuan Muda Riau.

Semasa hayatnya, Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam telah berkahwin (pertama) dengan Che Engku Puan binti Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid. (kedua) Inche’ Makoh binti Daeng Maturang, (ketiga) Inche’ Mariam binti Dato’ Bandar Hassan pada 1780, (keempat) Raja Hamidah binti Raja Haji (YTMRiau 4) pada 1803. Bagaimana pun perkahwinan dengan orang bukan gahara sahaja yang memperolehi putera iaitu Tengku Sulong (a/k Inche’ Makoh) dan Tengku Jumaat (a/k Inche’ Mariam).

Setelah kemangkatan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam pada 12 Januari 1811, baginda tidak menamakan pengganti bagi mewarisi Kesultanan Johor-Riau. Perebutan kuasa telah berlaku diantara Tengku Sulong dan Tengku Jumaat dari tahun 1812 sehingga 1819 walaupun umum mengetahui bahawa kedua-dua putera sultan ini dari isteri orang bukan gahara.

Bahawa didalam tempoh peralihan tersebut tentunya pembesar-pembesar negeri tercari-cari siapakah yang paling layak untuk ditabalkan menjadi Sultan. Memandangkan kedua-dua putera Sultan tersebut adalah dari isteri orang bukan gahara maka pada waktu tersebut Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah (sekiranya masih hidup) atau putera-putera baginda menjadi waris yang paling layak untuk ditabalkan sebagai Sultan Johor-Riau.

Bahawa Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam mungkin sedar bahawa kekanda baginda yang dikatakan telah mangkat itu sebenarnya masih hidup. Berbagai persoalan mungkin timbul dibenak baginda, ada baik dan ada risikonya. Tindakkan baginda tidak melantik atau menamakan pengganti baginda mungkin disebabkan baginda mahu menyerahkan kembali takhta kesultanan kepada kekanda baginda atau waris-waris yang lebih layak dari keturunan raja yang sebenar?].

Bahawa Dato’ Linggi yakni Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah dan keluarga baginda tentu terdedah kepada sasaran pembunuh upahan samada daripada waris keturunan Paduka Sri Sultan Mahmud ataupun Pembesar-pembesar Melayu dan Bugis yang tamakkan harta, pengaruh dan kuasa].


Sekitar tahun 1802 Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid ada menghantar wakil bagi menjemput Dato’ Linggi ke Istana Pekan.

Tujuannya untuk berjumpa Dato’ Linggi kerana dalam masa tersebut beliau sedang gering.

Adakah Bendahara berasa tersangat rindu kepada Dato’ Linggi, zuriat Sultan Johor-Riau yang dizalimi yang selama ini dilindungi secara diam-diam? Intan gemala yang disingkirkan oleh Bendahara Tun Hasan dan para pembesar Melayu yang ingin memastikan kekuasaan Negeri ditangan meraka? Atau mungkin Bendahara mahu menatap wajah intan gemala yang sekian lama tidak dilihatnya untuk kali terakhir? Mungkin juga Bendahara ingin menceritakan kebenaran, memohon ampun dan maaf, merafak sembah kepada Sultan yang sebenar (‘the True King’)?.

Bendahara Paduka Raja Tun ‘Abdul Majid meninggal dunia pada tahun 1802 tanpa diketahui samada hasrat beliau tercapai atau tidak.

Walau apapun, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah mengharungi saat-saat yang mencabar didalam penghidupannya, daripada putera raja, menjadi Sultan seketika, disingkir dari takhta kemudian menjadi rakyat biasa, hidup di tempat yang terpencil dan hanya ingin dikenali dengan nama Dato’ Ahmad (Dato’Linggi).

Dato’ Ahmad telah mangkat sekitar tahun 1812-1815 atau lebih mengikut jangka hayat manusia pada masa tersebut iaitu antara 50 – 60 tahun dan dimakamkan dibawah pohon Kundang ditempat yang dikenali sebagai Kuala Relong di Kampong Relong, Kuala Lipis, Pahang Darul Makmur.

Dengan huraian dan hipotisis yang dinyatakan diatas maka sedikit sebanyak persoalan-persoalan yang ditimbulkan sebelum ini telah pun terjawab.

No comments: