Tengku Tengah, juga dikenali Tengku/Raja Ahmad diputerakan didalam tahun 1752.
Putera kepada Raja di Baroh iaitu Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah ibni al-marhum Paduka Sri Sultan Sulaiman Badr ul-‘Alam Shah, Sultan Johor dengan Sultanah Tengku Puteh binti Raja Chelak, puteri ke tiga kepada Raja Chelak bin Daeng Rilaga, Yang di Pertuan Muda Riau ke 2 dengan Tengku Mandak binti al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah puteri ke tiga Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Mu’adzam Shah bin Bendahara ‘Abdu’l Majid, Sultan Johor-Riau.
Tengku Tengah telah ditabalkan menjadi Sultan Johor-Riau di Riau pada usia baginda 9 tahun bergelar Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah setelah kemangkatan ayahanda baginda al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah pada 29 Januari 1761.
Oleh kerana terlalu sedih atas kemangakatan Paduka Sri Sultan Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah, bonda baginda Tengku Puteh telah jatuh gering dan mangkat pada 16 Februari 1761 iaitu kurang sebulan selepas kemangkatan Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah dan dimakamkan di Batangan, Riau.
Semasa menjadi Sultan, Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah tinggal bersama Bendahara Tun Hassan di Kampung Bulang. Manakala adinda baginda Tengku Mahmud dipelihara oleh bonda saudara baginda Tengku Hitam di Riau.
Dalam tahun yang sama iaitu 1761 ‘Tuhfat Al-Nafis’ ada menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah jatuh gering seterusnya mangkat di Kampung Bulang dan dimakamkan di Batangan, Riau. Manakala menurut ‘Institusi Bendahara – Permata Yang Hilang’ bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah mangkat akibat termakan racun.
Bagaimana pun Christopher Buyers yang menulis didalam ‘RoyalArk/Malaysia/Johor’ dan beberapa penulis lain menyatakan bahawa Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah masih hidup selepas disingkirkan sehinggalah sekitar tahun 1770 apabila baginda dikatakan telah menghilangkan diri. Menurut cerita-cerita lisan waris di Kampung Relong yang diperturunkan dari generasi terdahulu menyatakan bahawa yang dimakamkan di Batangan tersebut hanyalah batang pisang dan sebenarnya Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah dilarikan oleh orang suruhan Bendahara Tun Hasan didalam gulungan tikar mengkuang dari Kampung Bulang.
Pada tahun 1770 Bendahara Tun Hassan telah mangkat dan digantikan oleh Bendahara Paduka Raja Tun Abdul Majid yang juga dikenali sebagai Bendahara Pahang.
Pada masa inilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah telah menghilangkan diri dimana dipercayai Bendahara Tun Abdul Majid secara senyap-senyap telah menghantar baginda ke satu tempat yang paling terpencil didalam Negeri Pahang iaitu di Kuala Relong.
Disinilah Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah yang menukar nama baginda kepada Dato’ Ahmad (Dato’ Linggi) telah membuka perkampongan pada tahun 1795, iaitu pada usia baginda 43 tahun.
Di sinilah juga baginda mangkat dan dimakamkan dibawah pokok kundang di Kuala Relong sekitar tahun 1812-1815.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment