Thursday, June 26, 2008

SULTAN JOHOR RIAU (5)

Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam ibni al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah

(Tahun 1761 – 1811)

Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam ibni al-marhum Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil V Mu’adzam Shah (lahir 1755) telah ditabalkan menggantikan Paduka Sri Sultan Ahmad I Ri’ayat Shah dalam tahun 1761 di Riau.

Pertabalan tersebut telah dibuat oleh Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja. Disebabkan Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam masih muda, pemerintahan Kerajaan Johor-Riau telah dipangku oleh Yamtuan Muda Riau Daeng Kemboja.

Didalam masa tersebut perebutan kuasa dan pengaruh diantara pembesar Melayu dan Bugis telah melemahkan Kerajaan Johor-Riau.

Pada tahun 1778, Raja Haji bin Raja Chelak telah dilantik sebagai Yamtuan Muda Riau ke empat setelah kemangkatan Daeng Kemboja. Pada masa ini pengaruh orang-orang Bugis berada dikemuncaknya. Bagaimana pun berlaku perselisihan faham diantara Raja Haji dengan Gabenor Belanda di Melaka yang membawa kepada peperangan diantara Bugis dengan Belanda. Pada 19 Jun 1784 Raja Haji terbunuh (fisabillu’llah) di Teluk Ketapang dan orang-orang Bugis telah diusir keluar dari Riau oleh pihak Belanda.

Walaupun Sultan dan para pembesar Melayu tidak terbabit didalam permusuhan itu namun pihak Belanda telah menghukum mereka dengan memaksa Sultan menanda tangani surat pengakuan menyerah kalah iaitu pada tanggal 10 November 1784.

Dengan perakuan tersebut Negeri Johor dan jajahan takluknya telah diserahkan kepada Belanda manakala Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam diberikan perlindungan oleh Belanda.

Sehinggalah pada 7 Februari 1787 barulah pihak Belanda menyerahkan kuasa kepada Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam.

Paduka Sri Sultan Mahmud III Shah Alam telah mangkat di Lingga pada 12 Januari 1811 dan dimakamkan di perkarangan Masjid Jami’ di Daik, Kepulauan Lingga.

Baginda tidak menamakan pengganti kerana baginda hanya mempunya dua orang putera dari isteri orang bukan gahara iaitu Tengku Sulong (a/k Inche Makoh) dan Tengku Juma’at (a/k Inche Mariam).

No comments: