Thursday, June 26, 2008

SEJARAH KESULTANAN JOHOR-RIAU (1699-1911)

Susur galur Kesultanan Johor-Riau dikatakan bermula daripada Sayyid ‘Aidarus dari Kampong Pasir di Aceh, Sumatera yang berasal daripada Hadramaut, Selatan Arab.

Keturunan beliau telah memerintah di empat negeri iaitu Johor, Terengganu dan Pahang di Malaysia dan Riau-Lingga di Indonesia.

Kesultanan Johor-Riau bermula pada tahun 1699 bilamana Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Ri’ayat Shah bin Dato Bendahara Tun Habib ‘Abdul Majid dilantik menjadi Sultan berikutan dengan kemangkatan Paduka Sri Sultan Mahmud Shah II (marhum mangkat dijulang) iaitu waris ‘terakhir’ daripada Kesultanan Melaka apabila baginda mangkat di Kota Tinggi.

Bagaimana pun dalam tahun 1718, Raja Kecil dari Siak yang mendakwa waris daripada keturunan Paduka Sri Sultan Mahmud Shah II telah menakluk Negeri Johor seterusnya membawa kepada peristiwa pembunuhan Paduka Sri Sultan ‘Abdu’l Jalil IV Ri’ayat Shah di Kuala Pahang.

Pengganti baginda iaitu Paduka Sri Sultan Sulaiman I Badr ul-‘Alam Shah telah bergabung dengan orang Bugis menyerang Johor dan menewaskan Raja Kecil pada tahun 1721.

Sebagai balasannya Sultan telah menganugerahkan jawatan Yamtuan Muda Riau iaitu jawatan tertinggi selepas sultan kepada puak Bugis selain daripada jawatan Bendahara dan Temenggong yang disandang oleh orang Melayu. Maka bermulalah era pengaruh orang-orang Bugis didalam pemerintahan Kesultanan Johor-Riau dan persaingan pengaruh diantara para pembesar Melayu dengan Bugis didalam kerajaan Johor.

Menurut beberapa artikel termasuk ‘Ahlul-Bait Rasulullah s.a.w dan Raja Melayu’ tulisan Muzafar Mohamad dan Suzana M. Osman, dan ‘Salasilah Sultan-Sultan Riau-Lingga’ menyatakan bahawa Bendahara Tun Habib ‘Abdul Majid adalah dari keturunan Rasululah s.a.w. (Ahlul-Bait).

Setelah berkuasa selama lebih kurang dua dekad, akhirnya Kesultanan Johor-Riau telah berpecah disebabkan oleh perebutan kuasa, pengaruh, tamak haloba, cemburu, hasad dengki dan fitnah diantara orang Melayu dengan orang Bugis.

Perlantikan Sultan yang tidak mengikut adat Melayu telah menjadikan Sultan tersebut hilang daulatnya manakala peminggiran kuasa Bendahara sebagai penasihat kepada Sultan telah menjadikan para pembesar Melayu dan rakyat jelata hilang kepercayaan terhadap pemerintah.

Persetiaan Melayu-Bugis pada 1722 tersebut telah membawa kepada bibit-bibit keruntuhan kepada institusi raja Melayu Johor.

Campur tangan dari pihak British dan Belanda pada waktu tersebut juga telah melemahkan kerajaan Johor seterusnya membawa kepada perpecahan tersebut.

Kesultanan Johor (dari keturunan Temenggong) dan Kesultanan Pahang (dari keturunan Bendahara) masih berterusan sehingga hari ini manakala Kesultanan Riau-Lingga telah pun berakhir dalam tahun 1911 apabila pihak Belanda menghalau Sultan Lingga dari Riau.

1 comment:

arnolds-jezebel said...

assalamualaikum...ada tak family tree pasal kerabat raja johor ni?